Tabungan

10 November 2014

anak-anak zaman ini beruntung

Aku suka tengok dalam 'timeline' Facebook, ramai ibu bapa yang post tentang anak-anak mereka yang menang anugerah itu dan ini. Tak kisahlah tentang pelajaran, hobi mereka, pertandingan nyanyian atau apa-apa saja. Melihat kegembiraan ibu bapa tersebut, memang buat kita ikut gembira sekali.

Teringat aku masa kecil-kecil dulu. Kadang-kadang aku masuk pertandingan pun, mak dan ayah tak tahu. Aku ingat lagi pernah sekali aku masuk pertandingan bercerita di Khutub Khanah Pengkalan Pegoh (perpustakaan). Masuk sendiri, praktis sendiri, pergi sendiri, naik basikal saja, menang pun ambil hadiah sendiri tanpa ada mak dan ayah tengok aku.

Haha. Bukanlah aku kata mak dan ayah aku tak menyokong aku. Aku pun tak ingat masa tu kenapa mak dan ayah aku tak tahu haha! Lupa dah pasal apa.

Tapi point penting yang aku nak bangkitkan ialah, anak-anak zaman sekarang sangat sangat beruntung. Apa saja aktiviti mereka mendapat sokongan dan dorongan dari ibu dan bapa masing-masing. Sampaikan kalau anak ambil exam pun, ibu dan ayah (especially mak) sanggup ambil cuti semata-mata nak menunjukkan sokongan mereka terhadap anak-anak.

Berbeza sungguh mak dan ayah zaman dulu-dulu. Kasih sayang mereka tak mereka tonjolkan sebegitu rupa. Kasih dan sayang mereka adalah melalui kata-kata marah, hayunan rotan dan doa tahajud setiap malam. Nampak macam tak sayang-kan? Tapi sayang itulah yang buat kami sekarang ini.

Berbeza dengan anak-anak zaman sekarang. Ditatang macam minyak yang penuh. Apa saja keinginan diberi tak pernah ditolak. Tapi sayangnya, ada yang lupa pengorbanan dan kasih sayang mak ayah tu. Bila dah besar, dah berjaya, mak entah ke mana, ayah entah ke mana. Sedih juga. Padahal, setiap kali berjaya, dijaja kehebatan anak dalam Facebook. Tapi bila mak ayah dah ada kudrat, dibiar saja.

Tapi, tidaklah semua. Aku yakin, masih ramai anak-anak  yang menghargai pengorbanan dan kasih sayang mak ayah mereka. Dan aku berharap, anak aku juga akan menghargai aku dan Naz bila dia besar nanti. Aku juga dah menjadi sebahagian mak ayah moden. Apa saja Cha minta selagi mampu aku tak pernah kata tidak. Kadang-kadang rasa takut juga manja yang aku limpahkan pada dia. Tapi bila aku fikirkan, aku tak ada rezeki lagi untuk dapat anak lagi, aku semakin manja manja dan manjakan Cha.

Ada juga aku ambil cara mak aku membesarkan aku, dalam setiap doa aku, tak pernah tercicir nama Cha. Semoga Cha terus menjadi anak yang solehah. Walaupun Cha adalah anak istimewa, tapi sementara aku masih hidup, aku akan pastikan dia akan berjaya seperti anak-anak normal yang lain.

InshaAllah, mami akan sentiasa ada.





No comments:

Post a Comment

terima kasih atas segala pandangan..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...