Tabungan

06 September 2018

Apa perasaan aku bila tahu Qalesya anak istimewa?



Kalau ditanya tentang perasaan, tak mungkin aku dapat huraikan satu-satu dengan teliti. Sebab apa? Sebab perasaan aku bercampur baur. 

Takut? Sedih? Marah? Kecewa? Bahagia? Risau? 

Semuanya bercampur aduk. Kalau boleh disusun jadi warna pelangi, ah mudah. Tapi dah campur-campur jadi warna aiskrim Nestle. Masih pelangi tapi bercampur aduk. *wink*

Tapi, aku akan cuba cerita dengan perlahan, agar kalian dapat rasa apa aku rasa. *senyum*

Masa mula-mula aku diminta oleh doktor untuk buat pemeriksaan lanjut tahap perkembangan Cha, dari situ pun hati aku dah mula risau. Hati aku dah mula sakit. Dah mula sedih.

Kenapa risau?
Risau setakat mana autism Cha. Risau sama ada aku boleh atau tidak hadapi perkara ini. Risau boleh ke aku jalankan tanggungjawab aku sebagai ibu yang baik untuk seorang anak syurga yang dah Tuhan turunkan dalam rahim aku sehingga dilahirkan dengan selamat ni. 

Kenapa sakit?
Sakit sebab aku rasa remuk hati bila setiap kali aku pandang wajah Cha yang jernih sejernih jernihnya. Sakit sebab setiap kali aku pandang Cha, aku teringat bahawa dia mungkin anak autism yakni bukan anak yang dianggap normal oleh sebilangan besar orang di negara kita ini. Sakit sebab aku kecewa adakah kerana dosa-dosa lama aku, anak aku yang dihukum - penghidap autism.

Kenapa sedih?
Sedih sebab aku bayangkan kalaulah aku tak ada, siapa akan jaga Cha? Bolehkah orang lain jaga Cha seperti mana aku jaga dia. Bolehkah orang faham bahawa Cha itu lain dari anak seusia dia. 
Sedih sebab dia tak normal. Dia sendiri tak tahu bahawa dia tak normal. Dia sendiri tak tahu bahawa dia itu istimewa.

Sejak kami bawa Cha mula berjumpa doktor sana sini, aku sedikit pun tak pernah menangis. Sebab masa itu, aku fokus untuk cari jalan yang terbaik untuk dia membesar macam anak-anak yang lain. Aku yakin bahawa Cha juga berhak untuk membesar dengan normal. Jadi aku fokus teramat fokus untuk berikan yang terbaik buat dia.

Temujanji doktor sana sini, sikit pun aku tak menolak, sikit pun aku tak mengeluh sebab aku yakin itu yang terbaik dan itu sahaja yang mampu aku buat untuk menolong Cha hidup bahagia. Cha berhak bahagia. Jadi aku sikit pun tak mengeluh dan aku hadap semuanya.

Ada setengah-setengah temujanji yang aku pergi sendirian dengan Cha tanpa suami, aku pergi, aku hadap, sebab pada aku, tak apalah salah seorang tak ada pun, tapi aku mahu ada, hendak ada, mesti ada, teman Cha lalu hari-hari dia.

Air mata aku tak pernah tumpah walaupun aku penat di akhir hari. Aku tetap senyum setiap kali aku lelapkan mata dan Cha ada tanpa gagal peluk aku setiap malam.

Jadi kalian bayangkan, dari Cha umur 3 tahun setengah sehingga Cha umur 6 tahun, aku hadap sehadap mungkin segala temujanji segala ujian yang perlu kami buat pada Cha. 

Owh! Ada sekali air mata aku tumpah, sebab tempayan air mata aku ni dijolok-jolok orang (ah itu nanti aku cerita dalam post lain ya haha). Tungguuuu haha!

Jadiiiii (sambung balik)... aku ni pun manusia biasa. Kuat mana pun aku, aku perempuan, hati tisu. Air mata aku tumpah masa hari aku dapat kad OKU Cha. Kami memang perlu dapatkan kad tersebut sebab kami nak uruskan hal persekolahan Cha...





Masa aku dapat kad ni, terus terang aku katakan, aku hanya duduk dan tenung saja gambar dia yang comel tu. Anak yang tulus mulus tu, akhirnya ada satu kad Orang Kurang Upaya.

Yang lagi sedih, dia tak tahu pun bahawa dia adalah anak yang kurang upaya. Segala kegembiraan dari hati dia yang dizahirkan secara fizikal, melompat, menjerit, mengusik orang sana-sini sebenarnya datang dari sesusuk tubuh badan anak kurang upaya.

Aku memang terduduk. Aku rasa lama juga, aku dok tenung.

Tapi, lama-lama, aku rasa, ah! dia istimewa kot *wink*

Ada banyak keistimewaan bila dia anak isitmewa. Salah satunya - dia anak syurga. Sesungguhnya tempat anak aku ni adalah syurga. 

Kerana dia anak yang naif, anak yang tulus, anak yang ada masalah perkembangan otak. Maka dia memang tidak normal, dan oleh itu, aku ada anak syurga...

Disebalik semua rasa sedih, takut, marah, kecewa itu tadi, aku cuba untuk pusing jadi sesuatu yang positif.

Sebab aku fikir, kalau aku terus-terusan bersedih dengan keadaan Cha yang dah memang pasti autism, lebih baik aku hadapi hari-hari ini dengan kuat supaya Cha tetap selamat di bawah jagaan aku.

Apa guna aku bersedih? Bersedih hanya akan buat fizikal dan mental aku sakit. Kalau aku sakit, siapa nak jaga permata aku? 

Jadi aku perlu kuat. Agar Cha juga kuat.
Aku perlu gembira dan bahagia, agar Cha juga gembira dan bahagia.
Aku perlu terus positif agar Cha terus-terusan ketawa di sisi aku.

Jadi kawan-kawan, kalau ditanya apa perasaan aku, aku hanya boleh jawab -- aku rasa pelangi :)







1 comment:

terima kasih atas segala pandangan..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...